Sekapur Sirih


Assalamualaikum wrt. wbt. dan Salam Sejahtera,

Kepada pelajar-pelajar baharu,

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengalu-alukan kedatangan dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada saudara/i yang berjaya menjejakkan kaki di UMT. Secara peribadi saya rasakan bahawa saudara/i merupakan insan yang bertuah diterima masuk ke UMT sebagai tempat pilihan untuk menimba ilmu di kalangan ribuan pelajar lepasan Matrikulasi, STPM dan Diploma. Secara kebetulan pula, UMT baharu sahaja mengalami transformasi akademik yang melibatkan penstrukturan semula Fakulti kepada Pusat Pengajian yang membolehkan penawaran program akademik lebih berfokus dan mantap. Saudara/i merupakan kumpulan pertama yang akan mengikuti program pengajian di bawah Pusat Pengajian Sains Asas (PPSA). Semoga ianya akan menjadi pendorong kepada saudara/i untuk mencipta kegemilangan ilmu bagi meneruskan kecemerlangan yang telah dilakar oleh pelajar-pelajar UMT terdahulu.

Kepesatan pembangunan sains dan teknologi masa kini telah melahirkan fenomena global yang mencabar. Oleh itu, pihak PPSA telah menggubal dan memurnikan kurikulum akademik yang sedia ada bagi menyediakan graduan yang mempunyai pengetahuan sains asas yang mantap. Pengambilan kursus-kursus teras dan elektif universiti pula akan membantu graduan dari PPSA menjadi lebih bersifat holistik dan akan menjadi modal insan yang mampu berdaya saing di dalam era semasa. Di sepanjang berada di UMT, saudara/i juga perlu bersedia secara berterusan untuk melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan, kemahiran tinggi yang inovatif dan jati diri yang kukuh dalam usaha menangani suasana baharu dengan cekap dan berkesan.

Di akhir kata, saya ingin mendoakan kejayaan saudara/i dalam apa jua bidang yang diceburi. Saya juga percaya itulah juga harapan dan doa kedua ibu bapa dan keluarga saudara/i.

Sekian, terima kasih.

PROF. DR. AZIZ AHMAD

Dekan, Pusat Pengajian Sains Asas.